Isnin, Februari 08, 2021

Covid-19 Mohon Pergi

Assalamualaikum dan Salam Hormat kepada para pemirsa. 

Terlalu cliche untuk aku sebutkan disetiap post, maaf sebab sudah lama kita tidak bersua. Aku sentiasa cuba untuk rajinkan diri, entah yang ke berapa kalinya. Harap-harap kali ni aku lebih istiqamah.

Februari 2021, menandakan bahawa sudah setahun sebulan virus Covid-19 dikesan masuk ke Malaysia sekaligus menjadi pandemik yang menghantui seluruh warga Malaysia malahan semua negara di dunia ini.

Kehadiran si kecil yang digeruni ini telah meragut ramai nyawa dan sehingga kini kes jangkitan semakin hari semakin meningkat walau pelbagai usaha telah dijalankan.

18 Mac 2020 yang lalu, kerajaan telah perkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermaksud untuk menjadi salah satu usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 ini. Pada asalnya, sekitar Julai-Ogos 2020 catatan jangkitan berjaya dilandaikan. Namun apabila semua sektor ekonomi dibuka semula terutama sektor pelancongan semakin rancak kembali, booom! Kes mencanak-canak balik hinggalah ke hari ini. Dalam seminggu dua kebelakangan ini, kes harian telah mencecah angka 5000 lebih dalam sehari. 

PKP 2.0 dikuatkuasakan semula, dengan harapan kes dapat dikurangkan. Kempen amalkan norma baharu giat dipromosikan hampir di semua saluran media cetak dan laman sosial. Kompaun dan denda ditingkatkan untuk memastikan rakyat patuhi semua SOP yang ditetapkan. Namun begitu, sebilangan rakyat sudah mula jelak dan muak. Bukan sebab rebel, tetapi tertekan akibat sangat ramai yang diberhentikan kerja atau gaji dipotong semenjak pandemik ini melanda. Tidak kurang juga ramai peniaga yang gulung tikar. Sesungguhnya, Covid-19 ini bukan sahaja memberi ancaman kepada kesihatan, tetapi juga mampu melumpuhkan ekonomi negara serta rakyatnya.

Sebuah drama diterbitkan untuk mengimbas kembali gambaran situasi para marhaen semasa Covid-19 melanda negara. Hadiah Dari Tuhan, itu tajuk dramanya. Berbaloi untuk ditonton sebagai mengingatkan kembali kita kepada musim pandemik ini.

PKP, PKPB, PKPP, PKPD, PKPDB, PKP 2.0... Apapun saja nama/gelaran yang diberikan kepada usaha kerajaan, semua rakyat berharap agar ancaman kesihatan dan ekonomi dapat ditangani sama rata demi kebaikan seluruh rakyat Malaysia. Semoga para pemimpin sedar, Malaysia perlu diselamatkan terlebih dahulu sekarang ini. Hentikan segala sketsa drama politik murahan di saat-saat negara sedang berdepan dengan pandemik. Selamatkan negara kita ini, bukan kocek sendiri dan para kroni. 

Semoga Covid-19 segera pergi. Semoga kita dapat menjalani kehidupan harian seperti kebiasaan dahulu. Kepada Allah kita berlindung, kepada Allah kita meminta, kepada Allah kita serahkan segalanya. 

Salah satu norma baharu, ke mana-mana wajib pakai topeng pelitup hidung dan mulut.

#kitajagakita
#kitabelummenang
#amalkannormabaharu

Tiada ulasan: