Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...
Suasana sayu dan pilu menyelubungi Ladang Mostyn, kerana perginya seorang "ayah" kami semua, kembali kepada Allah SWT.
Tuan Hj. Mohd Esa Bin Mohidin, satu sosok yang luarannya kelihatan serius dan garang. Tapi itu semua demi melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang dipikul. Tiada kompromi, tiada pilih kasih. Itulah prinsip kerja beliau. Sangat berdedikasi terhadap kerja, walau dengan jawatan yang tinggi beliau boleh pilih untuk lebih banyak berehat, tapi beliau tidak. Beliau habiskan saban hari dengan melaksanakan tugas-tugas yang telah diamanahkan kepada beliau, memantau setiap gerak kerja para kakitangan dan pekerja atas dasar tidak mahu dipersoalkan di akhirat kelak.
Dalam ketegasan beliau bekerja, hakikatnya tersimpan berjuta sifat penyayang beliau kepada keluarga ladang ini. Semasa pandemik Covid-19 menyerang, operasi dihentikan selama 10 hari atas arahan pihak kerajaan. Bila hari gaji, sangat ramai yang terjejas dengan pendapatan yang kurang daripada komitmen bulanan. Beliau melalui kami yakni Gender Mostyn telah menyalurkan bantuan kepada keluarga-keluarga yang terkesan dengan mengeluarkan duit sendiri untuk memberi bantuan tersebut. Tetapi dengan syarat katanya, jangan bagitahu sesiapa beliau yang sumbangkan. Namun hari ini aku kena kongsikan kerana aku mahu kebaikan beliau menjadi kenangan bertulis. Pedulilah orang mahu kata apa dari penilaian luaran mereka kepada beliau, tapi kami yang ada di belakang tabir tahu kemuliaan hati beliau.
Beliau sangat profesional dalam bekerja, hingga boleh membezakan antara urusan kerja dengan peribadi agar tidak dicampur aduk. Sebagai bos, beliau sangat tegas. Tetapi sebagai ayah, beliau sangat baik termasuk kepada kami para kakitangannya.
Kemarin, 11/02/2021 satu hari yang sangat suram. Sudah seminggu aku rasa tidak sedap hati, rupanya Allah ingin menjemput beliau pergi. Sehari sebelum beliau pergi, terlalu lama beliau luangkan masa bercerita, bergurau senda dan bergelak ketawa dengan kami (aku, MA Nordin dan Kak Peni). Beliau tidak pernah luangkan masa lama seperti itu, apatah lagi untuk berborak kosong sampai 2-3 jam. Tapi hari itu, beliau tidak jadi bos, beliau jadi ayah kepada kami. Siap bercerita al-kisah bunga keladi mickey mouse.
Dalam borak kosong sangat padat diselitkan dengan peringatan tentang amanah dan ibadah. Laksanakanlah tanggungjawab walau pahit, kerana itu amanah daripada gaji yang kita terima. Bekerja itu satu ibadah. Peduli apa orang mahu kata, Allah tahu segalanya. Sekurang-kurangnya kita tidak dipersoalkan depan Allah di akhirat nanti soal amanah, terlepas sudah satu beban.
Subuh di hari pemergian beliau, kami bertiga disuruh untuk hadir morning muster, tanpa sebab yang mustahak. Tapi beliau tidak datang pada awalnya. Fikir kami, bos game kami ni. Lepas saja muster bersurai, barulah beliau hadir dengan senyuman di wajah. Memberi pesanan bermacam-macam kepada kami dan semua eksekutif. Ayat terakhir beliau, "saya dah bagi-bagi amanah ni kat korang, ringan sikit rasa bahu ni, senang sikit nak jumpa Allah esok-esok." Allah... Seperti beliau tahu beliau akan pergi.
Sekitar jam 11.00 pagi, aku terima panggilan daripada Uncle Zai, maklumkan yang Tuan Haji ada di unit kecemasan Hospital Kunak. Kebetulan Uncle ada hantar mama untuk dialisis. Aku jadi resah, maklumkan dengan Tuan Hafeez. Tuan Hafeez pun dapat perkhabaran yang sama dan minta aku segera ke kecemasan. Aku dan Tuan Asyraaf bergegas ke sana. Setibanya di hospital, masa itu juga doktor keluar dan sahkan bahawa Tuan Haji sudah tiada. Tersentak aku seketika. Perasaan bercampur aduk. Tapi bila melihat Puan Hjh. Aein (isteri Tuan Haji) yang terkaku, aku ingatkan diri sendiri untuk kekal tenang sebab aku perlu berikan sokongan yang sewajarnya kepada Puan Hjh Aein sebab mereka tiada saudara mara di sini, anak-anak semua di semenanjung. Jadi kamilah anak-anak kepada Tuan Haji dan Puan Hjh Aein di sini pada saat ini.
Alhamdulillah, aku sempat memberi khidmat bakti bersama beberapa orang yang lain, untuk membantu memudahkan urusan perjalanan terakhir beliau. Diberikan juga kesempatan untuk melihat wajah beliau buat kali terakhir. Menemani Puan Hjh Aein sehinggalah mereka bergerak ke Kota Kinabalu untuk perjalanan membawa pulang jenazah untuk dikebumikan di Seremban.
Innaalillaahi wainnaa ilaihi raajiun. Selamat berehat, Tuan Hj Mohd Esa Bin Mohidin. Kami sayangkan Tuan, tapi Allah lebih menyayangi Tuan. Selesai sudah urusan Tuan di sini, semoga Allah berikan tempat yang terbaik buat Tuan di alam sana. Terima kasih atas segala ilmu dan pesanan yang dicurahkan. Sumbangan yang diberikan untuk memudahkan misi bantuan kami selama ini. Juga menghargai perkhidmatanku sebagai kakitangan Tuan dengan memberi pengiktirafan berupa kenaikan gred pada tahun lalu.
Semoga Puan Hjh Aein dan anak-anak bertabah dan redha dengan ujian ini. Insya Allah, kami akan doakan yang terbaik buat Allayarham dan juga Puan Hjh sekeluarga.
"Allahummagh firlahu warhamhu wa`afihi wa`fu`anhu"
"Ya Allah, ampunilah dosanya, berilah rahmatMu ke atasnya, sejahtera dan maafkanlah dia."
Al-fatihah
بِسْــــــــمِ اٌللَّهِ اٌلرَّحْمَنِ اٌلرَّحِيْـــــــــمِِ
◄.اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ العَالَمِينَ ۞ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ۞ مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ ۞ إيَّاكَ نَعْبُدُ وإيَّاكَ نَسْتَعِينُ ۞ اِهْدِنَا الصِّراطَ الْمُسْتَقِيمَ ۞ صِرَاطَ الَّذِينَ أنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّيِنَ.. آمِّْن.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan