Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Sangat lama tidak menukilkan sesuatu, tahun 2019 ditutup dengan sederhana namun penuh kesyukuran sebab Allah masih pinjamkan kepadaku insan-insan teristimewa dalam hidupku untuk dibawa bersama ke tahun 2020.
Lagu yang kita nyanyikan dengan penuh semangat masa sekolah dulu, ya Wawasan 2020 telah pun tiba. Cuma sayangnya, misi dan visi Wawasan 2020 masih banyak yang tidak tercapai lagi untuk direalisasikan oleh negara kita atas pelbagai faktor dan kekangan. Tapi tidak mengapa, syukur Malaysia masih aman.
Tahun 2020 dibuka dengan keterujaan, mengharapkan tahun ini boleh membawa sesuatu yang baru dalam hidupku dan keluarga. Baby mungkin? Hehehe...
Januari 2020 dilalui seperti biasa, masih ralat menulis angka 2 di bahagian tahun setiap kali tulis tarikh. Masa dihabiskan dengan urusan kerja, Gender Committtee dan temujanji doktor.
Februari 2020 menjelma, audit dalaman (internal audit) untuk RSPO/MSPO pada 12 Februari 2020. Seharian menghadap auditor dengan banyak syarat terbaru RSPO untuk dipatuhi. Blk rumah sudah jam 8.00 malam. Singgah sekejap di rumah mama dan etta, tengok keadaan kesihatan diorang yang agak kurang memuaskan. Bawa mama pigi Hospital Kunak, katanya mama gastrik dan dibagi ubat.
Jam 11.30 malam, balik rumah dan cuba untuk lelapkan mata tapi beberapa minit kemudian telefon berdering, mama susah untuk bernafas kata uncle. Bangun, bersiap dan terus pigi balik di bahagian kecemasan Hospital Kunak.
Di wad kecemasan Hospital Kunak, doktor kata buah pinggang mama sudah hampir gagal berfungsi. Perlu dihantar segera ke Hospital Tawau untuk "cuci darah" sebab dikhuatiri toksik dan air dalam badan sudah mula naik ke paru-paru sebab tu mama susah mau bernafas. Mama tidak setuju pada mulanya, sebab TAKUT. Tapi doktor yang bertugas baik, bagi surat penghantar in case besok mama berubah hati.
13/02/2020, mama mula lemah. Tapi masih belum bersedia untuk dapatkan rawatan yang dicadang oleh doktor. Jam 12.30 tengah malam (14/02/2020), aku di call lagi bilang mama sudah tidak tahan dan surrender, minta dihantar pigi Hospital Tawau. Jam 1.00 pagi aku dan uncle bawa mama guna kereta myvi suami pigi Hospital Tawau. Sampai sana, daftar dan tunjuk surat penghantar. Ya, sakit telinga dan agak sakit hati dengar bebelan doktor yang terima kes mama ni. Sebab dalam surat penghantar ada mention yang mama asalnya refuse untuk dirawat. Tapi demi kesihatan mama, aku tadah telinga jak lah dan cuba bersabar dengan kata-kata doktor tu which memang betul cuma aku tidak juga boleh jatuhkan keengganan mama pada mulanya tu sebagai satu kesalahan, sebab dia orang tua dia cuma takut.
14/02/2020, mama dimasukkan dalam wad perempuan jam 6.00 pagi selepas lebih kurang 4 jam dalam rawatan di wad kecemasan. Bangunan lama, tingkat 2, wad no. 7 mama ditempatkan. Mama dirawat sebagai pesakit yang mempunyai pelbagai komplikasi kesihatan, terutamanya buah pinggang bermasalah dan tekanan darah yang terlalu tinggi. Aku temankan mama di wad siang dan malam, tiada tidur sebab trust me dalam wad di Hospital Tawau, sangat-sangat tidak selesa. Berbekalkan kerusi plastik, kena tidur duduk saja sebab tiada tilam khas disediakan untuk penjaga dan susunan katil antara pesakit juga rapat, tidak sama dengan wad di Hospital Kunak yang lebih selesa. Tapi tidak mengapa, aku faham dan cuba adapt.
16/02/2020, etta berniat mahu datang melawat mama. Tapi keadaan kesihatan etta pun kurang mengizinkan sebenarnya. Batuk yang berpanjangan dan sejak malam sebelumnya (15/02/2020) etta tiba-tiba demam panas. Aku minta suami bawa saja etta datang Hospital Tawau dan cuba dapatkan rawatan di wad kecemasan (Ahad). Sangkaan ku tepat, kesihatan etta pun sangat tidak mengizinkan. Etta pun masuk wad. Jam 6.00 petang, etta ditempatkan di wad lelaki di bangunan dan tingkat yang sama dengan mama, cuma beza nombor wad saja, iaitu etta di wad nombor 5.
Saat yang mencabar menampar aku masa ini. Aku kena jaga kedua-duanya pada waktu yang sama serentak! Memandangkan suami kena balik Kunak dan Uncle plak tidak larat untuk menjaga sebelah malam, aku kena ulang-alik antara dua wad untuk pastikan kedua-duanya dapat perhatian yang sewajarnya. Masa ni, hanya Allah saja yang tahu kudrat dan semangat ku sangat-sangat teruji, tambah lagi tiada tidur sejak 12/02/2020 dan tiada bantuan kafein, memandangkan kopi sekarang hanya akan buat keadaan makin teruk. So, aku hanya tawakkal dan cuba bertahan semampu ku.
17/02/2020, mama dibenarkan keluar bila semua sudah stabil dan diberikan temujanji CAPD (Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis) sebagai alternatif selain hemodialisis yang umum kita ketahui tu, atas faktor ketiadaan slot di mana-mana hospital kerajaan terdekat buat masa ni. CAPD salah satu jenis dialisis yang boleh buat sendiri di rumah setiap hari. Selain temujanji CAPD, mama juga dibagi temujanji dengan doktor bedah pasal kesesuain perut mama untuk di"tanam" hos CAPD tu nanti. Mama discharged dari hospital, etta pula masih dalam wad. Jadi kami bertukar menjaga. Aku dengan uncle balik bawa mama, suami ku plak yang tinggal di wad jaga etta.
18/02/2020, aku patah balik ke Hospital Tawau untuk temankan suami jaga etta. Mama pula dijaga oleh Abg Mail, Kak Icah dan uncle d rumah. Petang yang sama, kami dimaklumkan etta boleh pulang tapi perlu dapatkan pemeriksaan lanjut di Hospital Kunak dan rawatan tambahan jika diperlukan. Selesai urus semua hal pembayaran dan ubat, kami pun bergerak pulang. Aku, suami dan etta. Pulang Mostyn dengan penuh rasa syukur sebab kedua-duanya sudah discharged. Rasa bersyukur juga sebab tidak sambut birthday ke-30 ku di hospital. 😅😅😅
20-23/02/2020, aku turun kerja laksanakan tanggungjawab. Menjayakan Kem Bina Insan 2.0 yang perlukan komitmen kena bermalam di tapak kem untuk menjaga para peserta, terdiri daripada anak-anak sekolah tahun 456. Walaupun kadang-kadang kena berlari balik rumah tengok mama dan bawa mama pigi Hospital Kunak, tapi syukur Allah banyak bantu. Dia hadirkan satu pasukan AJK termasuk Induk, Urusetia dan Fasilitator yang sangat terbaik, mampu teruskan itinerari dan jaga para peserta walau aku tiada di tapak kem.
24/02/2020, sejak keluar dari wad kesihatan mama masih belum memuaskan. Ulang-alik Hospital Kunak tapi tiada rawatan khusus sebab Hospital Tawau sudah sarankan rawatan yang sepatutnya, hanya tunggu temujanji. Mama masih tiada selera makan, asyik muntah dan sangat lemah. Hari ni mama masuk tandas dan rebah. Tidak pengsan atau pitam, cuma lemah sebab kekurangan tenaga. Cepat-cepat kami bawa mama pigi wad kecemasan Hospital Kunak. Doktor tiada pilihan lain, mahu tidak mahu kena hantar mama pigi Hospital Tawau lagi. Aku ikut naik ambulans teman mama. Ya betul, dilema ku bermula kembali. Mama dimasukkan semula dalam wad yang sama.
Syukur, hari yang sama (sebelah malam) Abg Lan ada balik. Cuti panjang semata-mata mahu bantu jaga mama. 25/02/2020 tengah hari Abg Lan datang wad jumpa mama dan kami tukar "shift". Aku balik Kunak untuk uruskan pakaian dan keperluan lain termasuk tengok-tengokkan etta. Suami yang urus etta, bawa setiap hari follow up rawatan jangkitan kuman di Hospital Kunak. Etta plak bermalam di rumah Abg Mail supaya makan minumnya terjaga. Sepanjang ketiadaanku, suami plak bermalam di rumah mertua (mamanya).
Sepanjang masa di wad, macam-macam keluhan mama yang sangat tidak selesa dengan kesakitan dialami. Tambah-tambah pula setiap masa kena ambil sample darah, SAKIT katanya. Kami pun kasihan tengok mama begitu. Sejak masuk wad kali ni, mama tidak boleh bergerak langsung dengan sendirinya. Ke tandas memang kena kami angkat dan tolak guna kerusi roda. Aku, Abg Lan dan Uncle berganti-ganti menjaga. Sebelah malam, aku saja yang jaga. Sebab lelaki tidak dibenarkan menjaga. Ada satu malam, Makcik Murni (adik mama) yang tolong ganti kami. Alhamdulillah, terima kasih makcik.
29/02/2020, mama sudah tidak sanggup terima rawatan dan dicucuk jarum. Tambahan pula, doktor mencadangkan untuk ambil sample air tulang sum-sum untuk ketahui lebih lanjut pasal masalah kesihatan mama sebab nampaknya bukan kegagalan buah pinggang semata-mata. Mama bertambah takut dan sudah tidak sanggup lagi. Mama minta KELUAR dari wad, masa ni aku tiada di Hospital Tawau. Aku balik uruskan etta di rumah. Abg Lan dan uncle akur dengan kemahuan mama yang bertegas mahu keluar dari wad. Pihak hospital hormati keputusan mama untuk hentikan rawatan hospital dan terangkan segala risiko yang perlu kami ambil. Apa-apa yang berlaku kemudian, di luar tanggungjawab pihak hospital. Semua setuju, mama keluar wad dan balik.
Sejak itu, mama dan etta tinggal dengan kami di rumah staff termasuk uncle dan Abg Lan. Sejak itu juga, kami cuba ikhtiar dapatkan rawatan ruqyah dan tradisional untuk merawat sakit mama dan etta. Seminggu pertama diorang di rumah, agak mencabar dengan keadaan mama yang tidak boleh berjalan, bangun dan makan sendiri. Syukur Abg Lan lanjutkan cutinya dan bantu aku uruskan mama. Aku shift siang, Abg Lan shift malam. Sangat beza cara aku layan mama dengan Abg Lan. Selembut-lembut aku, lagi lembut Abg Lan menyantuni mama. Aku salute! No wonder dia anak kesayangan mama sebab dia SANGAT SABAR dalam melayan dan bercakap dengan mama sama etta.
Alhamdulillah, saat post ini ditulis etta dan mama sudah beransur sihat. Mama sudah boleh berjalan sendiri dan buat kerja-kerja ringan di rumah. Etta plak dapat cuti panjang, kena jalani rawatan di Hospital Kunak dan makan ubat. Semoga keduanya semakin sihat dan kami semua sekeluarga diberikan kesejahteraan oleh-Nya.
Sekarang dugaan baru untuk semua manusia seluruh dunia, wabak Covid-19. Ok yang ni, nanti kita ulas di post seterusnya.
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan