Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Aku sedikit tersentak bila orang-orang yang menggubal peraturan mahupun SOP yang pada asalnya TERPAKSA dibuat demi melindungi kita daripada ancaman risiko tertentu atas sebab musabab kebaikan, dikatakan berlaku ZALIM dengan jawatan yang ada. Adakah peraturan itu zalim? Adakah orang berjawatan yang menggubal itu berlaku zalim?
Mereka yang menguatkuasakannya pula sebagai usaha pematuhan dilaksanakan, digelar ANJING oleh sebilangan manusia yang so called perfect, pandangannya konon sentiasa tepat!
Aku yang bekerja di bahagian kualiti, keselamatan dan alam sekitar diajar benda paling asas dalam menjalankan tugas. Dalam segala hal, benda pertama kena buat ialah PENILAIAN RISIKO bagi setiap perkara. Risk Assessment, itulah yang akan menjadi "tapak" kepada pembinaan setiap peraturan mahupun SOP. Serba serbi risiko walau sebesar zarah kena diambil kira. Dalam erti kata lain, si pembuat peraturan dan SOP ni sudah kaji, dalami, berprasangka dengan apa saja kebarangkalian yang bakal berlaku, sebelum menyusun peraturan tersebut dalam ayat. Bukan senang!!!
Di peringkat perlaksanaan pula, ya memang selalunya benda baru sukar untuk diterima sebab merubah norma lama kepada norma baharu. Orang kita, sentiasa takut akan perubahan. Selagi sesuatu risiko itu tidak beri mudarat kepada diri sendiri atau insan tersayang, mereka hanya akan persetankan saja SOP baru tersebut. Mudahkan?
Tetapi, bilamana satu-satu pihak yang mempunyai "kuasa" tidak mengambil langkah awal untuk mencegah (atas alasan orang kita tidak boleh terima), bila ada keburukan yang menimpa mereka di bawah sana, mereka pasti akan bersatu hati secara berjemaah MEMBODOHKAN mereka yang mempunyai kuasa dan jawatan. Lihat permainan mereka! Serba serbi hanya yang "berjawatan" saja yang salah! Buat salah, tidak buat lagi salah!
Aku digajikan untuk membantu syarikat dalam memastikan pematuhan (assurance) dalam semua peraturan sedia ada mahupun bantu menambah baik peraturan sedia ada atau brainstorming untuk develop peraturan baru (terutama sejak pandemik Covid-19). Diulangi, AKU DIGAJIKAN...!!! Bak kata Allayarham Tuan Haji Esa (mantan bos kami), "Setiap sen gaji kita itu adalah AMANAH. Dari setiap sen itulah juga akan diperhitungkan di akhirat kelak, sejauh mana amanah itu kita laksanakan."
Disebabkan takut akan dihitung di akhiratlah, kami kena berusaha laksanakan setiap arahan dalam menjalankan amanah dengan bersungguh-sungguh walau sudah sedia tahu akan risikonya yakni penerimaan bangsat daripada orang lain. Perbezaan pendapat dan penerimaan itu boleh, tapi jangan sesekali menilai atau menjatuhkan hukum kepada mereka yang sedang menjalankan tugas sebagai ZALIM, TIDAK BERHATI PERUT sehinggakan sanggup mendoakan KEMATIAN mereka. Na'uzubillahi Min Zalik!
Sama kisahnya dengan suami, bekerja sebagai anggota keselamatan dan penguatkuasa yang menjalankan pemantauan pematuhan SOP Covid-19 di premis-premis daerah atau sekatan jalan raya atau rondaan MPV. 80% katanya mereka yang ditegur akan melenting sampai tahap ajak bergaduh. Jika tiada kesabaran yang tinggi terhadap provokasi yang diterima, sudah pasti kekerasan akan mengambil alih senyumannya.
Ntah lah, aku rasa posting kali ni agak sarat dengan emosi. Tapi aku perlu lampiaskannya. Sebab aku sangat-sangat upset dengan penerimaan orang lain yang perasan bijak dan sentiasa betul tapi sebenarnya hanya pentingkan diri sendiri.
Bila peraturan dibuat, dikatakan berlaku zalim. Bila peraturan dikuatkuasakan, dikatakan berlaku zalim. Bila ada yang melanggar dan tindakan diambil, dikatakan berlaku zalim. Tahukah kalian? Kalianlah sebenarnya yang ZALIM terhadap diri sendiri. Sebab apa? Sebab biarkan KEBODOHAN menyelubungi diri dan keluarga sendiri. Ya, IGNORANCE itulah KEBODOHAN halus tetapi NYATA.
Maka, berlapang dadalah dalam segala hal. Aku yakin, tiada peraturan dibuat untuk memberikan mudharat melainkan hanya sebagai usaha untuk peroleh manfaat. Aku tidak pernah lagi jumpa peraturan yang dibuat untuk mematikan orang. Bagaimana cara kita menerima dan menilai sesuatu peraturan terutama yang baru serta mengubah rutin hidup kita 360 darjah, itulah yang akan menentukan kesannya terhadap kita. Jika kita berlapang dada, maka Insya Allah semuanya akan baik-baik saja dan hikmah akan muncul seiring penerimaan kita. Tapi andai kita dahulukan emosi dan kebodohan dalam menyambutnya, maka syaitan akan bersorak gembira untuk menghasut kita agar sentiasa melanggarnya dan sampai satu tahap kita diajar oleh syaitan untuk mendoakan keburukan dan kematian menimpa si pembuat dan penguatkuasa peraturan. Jangan biarkan syaitan menang!
Ingatlah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Wallahu a'lam bissawab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan