Ahad, Februari 28, 2021

Peraturan, SOP dan Kezaliman?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. 

Aku sedikit tersentak bila orang-orang yang menggubal peraturan mahupun SOP yang pada asalnya TERPAKSA dibuat demi melindungi kita daripada ancaman risiko tertentu atas sebab musabab kebaikan, dikatakan berlaku ZALIM dengan jawatan yang ada. Adakah peraturan itu zalim? Adakah orang berjawatan yang menggubal itu berlaku zalim?

Mereka yang menguatkuasakannya pula sebagai usaha pematuhan dilaksanakan, digelar ANJING oleh sebilangan manusia yang so called perfect, pandangannya konon sentiasa tepat! 

Aku yang bekerja di bahagian kualiti, keselamatan dan alam sekitar diajar benda paling asas dalam menjalankan tugas. Dalam segala hal, benda pertama kena buat ialah PENILAIAN RISIKO bagi setiap perkara. Risk Assessment, itulah yang akan menjadi "tapak" kepada pembinaan setiap peraturan mahupun SOP. Serba serbi risiko walau sebesar zarah kena diambil kira. Dalam erti kata lain, si pembuat peraturan dan SOP ni sudah kaji, dalami, berprasangka dengan apa saja kebarangkalian yang bakal berlaku, sebelum menyusun peraturan tersebut dalam ayat. Bukan senang!!!

Di peringkat perlaksanaan pula, ya memang selalunya benda baru sukar untuk diterima sebab merubah norma lama kepada norma baharu. Orang kita, sentiasa takut akan perubahan. Selagi sesuatu risiko itu tidak beri mudarat kepada diri sendiri atau insan tersayang, mereka hanya akan persetankan saja SOP baru tersebut. Mudahkan? 

Tetapi, bilamana satu-satu pihak yang mempunyai "kuasa" tidak mengambil langkah awal untuk mencegah (atas alasan orang kita tidak boleh terima), bila ada keburukan yang menimpa mereka di bawah sana, mereka pasti akan bersatu hati secara berjemaah MEMBODOHKAN mereka yang mempunyai kuasa dan jawatan. Lihat permainan mereka! Serba serbi hanya yang "berjawatan" saja yang salah! Buat salah, tidak buat lagi salah!

Aku digajikan untuk membantu syarikat dalam memastikan pematuhan (assurance) dalam semua peraturan sedia ada mahupun bantu menambah baik peraturan sedia ada atau brainstorming untuk develop peraturan baru (terutama sejak pandemik Covid-19). Diulangi, AKU DIGAJIKAN...!!! Bak kata Allayarham Tuan Haji Esa (mantan bos kami), "Setiap sen gaji kita itu adalah AMANAH. Dari setiap sen itulah juga akan diperhitungkan di akhirat kelak, sejauh mana amanah itu kita laksanakan." 

Disebabkan takut akan dihitung di akhiratlah, kami kena berusaha laksanakan setiap arahan dalam menjalankan amanah dengan bersungguh-sungguh walau sudah sedia tahu akan risikonya yakni penerimaan bangsat daripada orang lain. Perbezaan pendapat dan penerimaan itu boleh, tapi jangan sesekali menilai atau menjatuhkan hukum kepada mereka yang sedang menjalankan tugas sebagai ZALIM, TIDAK BERHATI PERUT sehinggakan sanggup mendoakan KEMATIAN mereka. Na'uzubillahi Min Zalik! 

Sama kisahnya dengan suami, bekerja sebagai anggota keselamatan dan penguatkuasa yang menjalankan pemantauan pematuhan SOP Covid-19 di premis-premis daerah atau sekatan jalan raya atau rondaan MPV. 80% katanya mereka yang ditegur akan melenting sampai tahap ajak bergaduh. Jika tiada kesabaran yang tinggi terhadap provokasi yang diterima, sudah pasti kekerasan akan mengambil alih senyumannya. 

Ntah lah, aku rasa posting kali ni agak sarat dengan emosi. Tapi aku perlu lampiaskannya. Sebab aku sangat-sangat upset dengan penerimaan orang lain yang perasan bijak dan sentiasa betul tapi sebenarnya hanya pentingkan diri sendiri.

Bila peraturan dibuat, dikatakan berlaku zalim. Bila peraturan dikuatkuasakan, dikatakan berlaku zalim. Bila ada yang melanggar dan tindakan diambil, dikatakan berlaku zalim. Tahukah kalian? Kalianlah sebenarnya yang ZALIM terhadap diri sendiri. Sebab apa? Sebab biarkan KEBODOHAN menyelubungi diri dan keluarga sendiri. Ya, IGNORANCE itulah KEBODOHAN halus tetapi NYATA.

Maka, berlapang dadalah dalam segala hal. Aku yakin, tiada peraturan dibuat untuk memberikan mudharat melainkan hanya sebagai usaha untuk peroleh manfaat. Aku tidak pernah lagi jumpa peraturan yang dibuat untuk mematikan orang. Bagaimana cara kita menerima dan menilai sesuatu peraturan terutama yang baru serta mengubah rutin hidup kita 360 darjah, itulah yang akan menentukan kesannya terhadap kita. Jika kita berlapang dada, maka Insya Allah semuanya akan baik-baik saja dan hikmah akan muncul seiring penerimaan kita. Tapi andai kita dahulukan emosi dan kebodohan dalam menyambutnya, maka syaitan akan bersorak gembira untuk menghasut kita agar sentiasa melanggarnya dan sampai satu tahap kita diajar oleh syaitan untuk mendoakan keburukan dan kematian menimpa si pembuat dan penguatkuasa peraturan. Jangan biarkan syaitan menang!

Ingatlah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Wallahu a'lam bissawab.

Jumaat, Februari 26, 2021

Selamat Hari Lahir, Mak!

Assalamualaikum dan Salam Hormat. 

Alhamdulillah, 26/02/2021 maka genaplah usia mama yang ke-69 tahun. Syukur kepada Allah SWT sebab tahun ini kami dapat meraikannya walau sesama kami sahaja. Simple yet meaningfull.

Tahun lalu, tahun yang paling mencabar buat kami sekeluarga. Mana tidaknya satu ulang tahun pun tidak dapat diraikan. Hanya habiskan banyak masa di hospital saja kami. Tapi tidak mengapa, semua itu demi memastikan mama dengan etta kembali sihat seperti sekarang. Alhamdulillah...

Terima kasih Allah sebab berikan kami seorang ibu yang kuat! She's a fighter! Dulu pernah diuji sakit kencing manis yang teruk sampai tahap hampir potong kaki, tahun lalu pula sakit buah pinggang sampai perlu jalani hemodialisis seumur hidup. Semua ujian Allah itu berjaya mama harungi di depan mataku sendiri. Kuatnya beliau! Bukan saja dalam melawan kesakitan, tapi dalam segala hal mama memang kuat. Tegas, garang dan cerewet. Tapi itulah yang menjadikan aku ni manusia. Semakin mama dimamah usia, semakin terserlah sifat lembut dan penyayangnya. Benarlah, garang dan tegas mama bukan semulajadi, tapi hanya dibuat-buat demi menakut-nakutkan aku dan adik beradik lain semata-mata agar lebih berdisiplin dan serius dalam menjalani alam kanak-kanak serta remaja kami dulu.

Terima kasih mak atas segalanya! I love you till Jannatul Firdaus. 🥰🥰🥰

Sabtu, Februari 20, 2021

19/02/2021, Bertambah Setahun Lagi Usia

Assalamualaikum dan Salam Hormat...

Kelmarin, 19/02/2021 merupakan Hari Ulang Tahun Kelahiranku yg ke-31 tahun. Alhamdulillah, masih diizinkan Allah untuk bernafas di buminya ini dan direzekikan masih bersama suami, mama, etta, Uncle Zai dan adik-beradik yang sentiasa menyayangiku apa adanya. 

Doaku sentiasa sama, semoga setiap hari aku menjadi insan yang lebih baik daripada hari-hari sebelumnya. Baik dari segi amal ibadah, tutur kata dan perbuatan, mahupun penilaian dalam mendepani segala perkara. 

Soal rezeki, Alhamdulillah aku selesa dengan kerjaya dan kecukupan yang Allah berikan sekarang. Dapat kerja kami suami isteri di daerah sendiri, dekat dengan orang tua, satu nikmat yang tidak terungkapkan. Soal rezeki anak pula, mama dengan etta selalu pesan, apa yang jadi semua kehendak Tuhan, yakni Allah. Pedulikan kata-kata negatif orang lain, bila sudah sampai masa Allah akan bagi juga. Insya Allah, kami akan terus berusaha dan berdoa semoga ada rezeki buat kami untuk menimang cahaya mata.

Semakin berusia, semakin aku sedar yang circle of people dalam hidupku semakin mengecil. Ada yang tinggalkan aku sebab jarak dan masa, ada yang tinggalkan aku sebab komitmen yang bertambah, ada yang tinggalkan aku sebab telah dijemput Allah, ada yang tinggalkan aku sebab aku terlalu tegas dalam menjalankan tugas dan bicara. Walau apapun, aku bersyukur kerana yang masih ada dalam circle ini, penuh dengan kualiti. Syukur juga kerana Allah masih hadirkan beberapa insan baru dalam kamus hidupku untuk mengisi segenap ruang keperluan untuk aku bisa jalani hari-hariku, waima cuma sekadar teman alam maya aku terima dengan gembira dan meraikan mereka sebaiknya.

Terima kasih buat semua yang mendoakan, aku juga sentiasa doakan yang baik-baik buat kalian semua.

Alhamdulillah, syukur pada Allah untuk segalanya...

Jumaat, Februari 12, 2021

Tuan Hj. Mohd Esa Bin Mohidin

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Suasana sayu dan pilu menyelubungi Ladang Mostyn, kerana perginya seorang "ayah" kami semua, kembali kepada Allah SWT.

Tuan Hj. Mohd Esa Bin Mohidin, satu sosok yang luarannya kelihatan serius dan garang. Tapi itu semua demi melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang dipikul. Tiada kompromi, tiada pilih kasih. Itulah prinsip kerja beliau. Sangat berdedikasi terhadap kerja, walau dengan jawatan yang tinggi beliau boleh pilih untuk lebih banyak berehat, tapi beliau tidak. Beliau habiskan saban hari dengan melaksanakan tugas-tugas yang telah diamanahkan kepada beliau, memantau setiap gerak kerja para kakitangan dan pekerja atas dasar tidak mahu dipersoalkan di akhirat kelak.

Dalam ketegasan beliau bekerja, hakikatnya tersimpan berjuta sifat penyayang beliau kepada keluarga ladang ini. Semasa pandemik Covid-19 menyerang, operasi dihentikan selama 10 hari atas arahan pihak kerajaan. Bila hari gaji, sangat ramai yang terjejas dengan pendapatan yang kurang daripada komitmen bulanan. Beliau melalui kami yakni Gender Mostyn telah menyalurkan bantuan kepada keluarga-keluarga yang terkesan dengan mengeluarkan duit sendiri untuk memberi bantuan tersebut. Tetapi dengan syarat katanya, jangan bagitahu sesiapa beliau yang sumbangkan. Namun hari ini aku kena kongsikan kerana aku mahu kebaikan beliau menjadi kenangan bertulis. Pedulilah orang mahu kata apa dari penilaian luaran mereka kepada beliau, tapi kami yang ada di belakang tabir tahu kemuliaan hati beliau.

Beliau sangat profesional dalam bekerja, hingga boleh membezakan antara urusan kerja dengan peribadi agar tidak dicampur aduk. Sebagai bos, beliau sangat tegas. Tetapi sebagai ayah, beliau sangat baik termasuk kepada kami para kakitangannya. 

Kemarin, 11/02/2021 satu hari yang sangat suram. Sudah seminggu aku rasa tidak sedap hati, rupanya Allah ingin menjemput beliau pergi. Sehari sebelum beliau pergi, terlalu lama beliau luangkan masa bercerita, bergurau senda dan bergelak ketawa dengan kami (aku, MA Nordin dan Kak Peni). Beliau tidak pernah luangkan masa lama seperti itu, apatah lagi untuk berborak kosong sampai 2-3 jam. Tapi hari itu, beliau tidak jadi bos, beliau jadi ayah kepada kami. Siap bercerita al-kisah bunga keladi mickey mouse.

Dalam borak kosong sangat padat diselitkan dengan peringatan tentang amanah dan ibadah. Laksanakanlah tanggungjawab walau pahit, kerana itu amanah daripada gaji yang kita terima. Bekerja itu satu ibadah. Peduli apa orang mahu kata, Allah tahu segalanya. Sekurang-kurangnya kita tidak dipersoalkan depan Allah di akhirat nanti soal amanah, terlepas sudah satu beban.

Subuh di hari pemergian beliau, kami bertiga disuruh untuk hadir morning muster, tanpa sebab yang mustahak. Tapi beliau tidak datang pada awalnya. Fikir kami, bos game kami ni. Lepas saja muster bersurai, barulah beliau hadir dengan senyuman di wajah. Memberi pesanan bermacam-macam kepada kami dan semua eksekutif. Ayat terakhir beliau, "saya dah bagi-bagi amanah ni kat korang, ringan sikit rasa bahu ni, senang sikit nak jumpa Allah esok-esok." Allah... Seperti beliau tahu beliau akan pergi. 

Sekitar jam 11.00 pagi, aku terima panggilan daripada Uncle Zai, maklumkan yang Tuan Haji ada di unit kecemasan Hospital Kunak. Kebetulan Uncle ada hantar mama untuk dialisis. Aku jadi resah, maklumkan dengan Tuan Hafeez. Tuan Hafeez pun dapat perkhabaran yang sama dan minta aku segera ke kecemasan. Aku dan Tuan Asyraaf bergegas ke sana. Setibanya di hospital, masa itu juga doktor keluar dan sahkan bahawa Tuan Haji sudah tiada. Tersentak aku seketika. Perasaan bercampur aduk. Tapi bila melihat Puan Hjh. Aein (isteri Tuan Haji) yang terkaku, aku ingatkan diri sendiri untuk kekal tenang sebab aku perlu berikan sokongan yang sewajarnya kepada Puan Hjh Aein sebab mereka tiada saudara mara di sini, anak-anak semua di semenanjung. Jadi kamilah anak-anak kepada Tuan Haji dan Puan Hjh Aein di sini pada saat ini. 

Alhamdulillah, aku sempat memberi khidmat bakti bersama beberapa orang yang lain, untuk membantu memudahkan urusan perjalanan terakhir beliau. Diberikan juga kesempatan untuk melihat wajah beliau buat kali terakhir. Menemani Puan Hjh Aein sehinggalah mereka bergerak ke Kota Kinabalu untuk perjalanan membawa pulang jenazah untuk dikebumikan di Seremban.

Innaalillaahi wainnaa ilaihi raajiun. Selamat berehat, Tuan Hj Mohd Esa Bin Mohidin. Kami sayangkan Tuan, tapi Allah lebih menyayangi Tuan. Selesai sudah urusan Tuan di sini, semoga Allah berikan tempat yang terbaik buat Tuan di alam sana. Terima kasih atas segala ilmu dan pesanan yang dicurahkan. Sumbangan yang diberikan untuk memudahkan misi bantuan kami selama ini. Juga menghargai perkhidmatanku sebagai kakitangan Tuan dengan memberi pengiktirafan berupa kenaikan gred pada tahun lalu.

Semoga Puan Hjh Aein dan anak-anak bertabah dan redha dengan ujian ini. Insya Allah, kami akan doakan yang terbaik buat Allayarham dan juga Puan Hjh sekeluarga.

"Allahummagh firlahu warhamhu wa`afihi wa`fu`anhu" 

"Ya Allah, ampunilah dosanya, berilah rahmatMu ke atasnya, sejahtera dan maafkanlah dia."

   Al-fatihah

 بِسْــــــــمِ اٌللَّهِ اٌلرَّحْمَنِ اٌلرَّحِيْـــــــــمِِ 
◄.اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ العَالَمِينَ ۞ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ۞ مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ ۞ إيَّاكَ نَعْبُدُ وإيَّاكَ نَسْتَعِينُ ۞ اِهْدِنَا الصِّراطَ الْمُسْتَقِيمَ ۞ صِرَاطَ الَّذِينَ أنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّيِنَ.. آمِّْن.

Rabu, Februari 10, 2021

Virtual Fiends

Assalamualaikum dan Salam Hormat...

Rentetan daripada post sebelum ini berkaitan dengan salah satu game dalam The Sims franchise iaitu Simcity Buildit, ia membuka satu lembaran baru dalam catatan hidupku. Mempunyai beberapa kenalan yakni rakan secara maya juga dikenali sebagai virtual friends.

Mengenali seseorang apatah lagi untuk dijadikan kawan, bagi aku akan mengambil masa yang agak lama. Apatah lagi hendak berteman dengan seseorang yang hanya dikenali dengan nama samaran game semata, agak janggal bagi aku. Benda ini sangat baru, mungkin sebab aku agak anti-sosial mungkin. Hahaha... 

Namun demi keinginan untuk mencuba sesuatu yang baru dan game Simcity Buildit yang semakin mengujakan, aku cuba. Cuba untuk break the barrier, menjengah ke satu ruangan yang baru. Di situlah aku terjebak dengan sebuah Mayor Club yang diberi nama Msia (ejaan penuh) Otai. Club yang penuh dengan warna-warni. Bermula dengan club sekadar dalam game, membawa kepada wujudnya group Discord atas nama yang sama. Untuk ikut serta masuk dalam Discord pada mulanya pun, aku rasa insecure, ntah lah. Agak keberatan pada awalnya, tapi aku cuba berkat pujukan Mr President pada kami satu per satu. Akhirnya, pujukan Mr President membuahkan hasil, sudah dua (2) bulan lamanya kami berenam (ahli kabinet) berteman secara alam maya tanpa perlu mengetahui identiti diri masing-masing.

Kami war, trade, mayor challenge dan berbual serta bergurau ibarat sudah kenal lama satu sama lain. Saat mengkoordinasikan war antara detik-detik terbaik dari segi kerjasama antara kami semua. Seorang plan dan lead, yang lain akan ikut dengan patuh dan bagi kerjasama. Walaupun semua ada komitmen dengan kerja, keluarga dan study tapi masing-masing mainkan peranan yang baik demi club. Teamwork yang sangat terbaik daripada semua.

Allah sudah takdirkan pertemuan ini. Mungkin realitiku kini agak ntah lah, sebab itu Allah hadirkan mereka ini sebagai tempat untuk aku berkongsi cerita tanpa perlu dinilai.

Kepada anda berlima dan ahli club yang lain, terima kasih! Semoga satu hari nanti Allah akan rezekikan kita untuk bertemu, berbual dan meluangkan masa bersama sebagai tanda penghargaan kepada persahabatan alam maya ini.




Selasa, Februari 09, 2021

Aku dan The Sims Franchise

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Bagi yang kenal aku secara peribadi, terutama ahli keluarga dan kawan rapat, sebut saja pasal aku dan games, mesti diorang akan kata The Sims atau game buat-buat orang. Hahaha...

Ya, aku dan The Sims ibarat lagu dan irama. Bermula dari The Sims 1 hinggalah The Sims 4, begitu juga dengan Simcity PC dan yang terbaru aku terjebak dengan Simcity Buildit iaitu Simcity versi dalam telefon. 

Minat ku pada franchise The Sims ni susah digambarkan. Bukan juga tahap obses sampai kena buat collection dan main semua tapi loyalty, maybe. Setia pada games yang ada kaitan dengan The Sims. Pernah cuba main game lain, tapi feel dia tidak sama. Alih-alih, bosan dan uninstall. Tapi The Sims ni lain macam. Aku sanggup dulu kumpul duit raya semata untuk beli CD installer The Sims 2 dan The Sims 3. Manakala yang The Sims 4, download dari website dia. 

Semenjak mula bekerja, time management agak ke laut. Mula-mula kahwin pun sama, hanky panky here and there. Membuatkan aku tinggalkan games seketika. Tapi bila pacing sudah normal, aku sudah boleh urus masa kerja, suami dan hal-hal rumah dengan baik, barulah aku kembali isi masa luangku dengan Simcity Buildit. Tambahan pula dengan PKP, murid-murid mengaji pula terpaksa dicutikan. Tambahlah aku buntu tiada buat apa-apa, lebih-lebih bila suami kerja malam. Huhuhu...

Bermula November 2020, Simcity Buildit telah mengisi hari-hari ku. Lebih menyeronokkan lagi, aku direzekikan bertemu dengan sebuah club yang memang terbaik, baik dari segi komitmen team members termasuklah individu2 dalam club tu sendiri yang super duper happening! Lagilah aku lebih bersemangat untuk berikan sumbangan kepada club tu. Nama club aku rahsiakan dulu, sebab tidak mahu jadi keywords untuk diorang cari blog ni. Hahaha...

Itu saja buat masa ni, akan update lebih lanjut dalam post seterusnya. 😁😁😁

Isnin, Februari 08, 2021

Covid-19 Mohon Pergi

Assalamualaikum dan Salam Hormat kepada para pemirsa. 

Terlalu cliche untuk aku sebutkan disetiap post, maaf sebab sudah lama kita tidak bersua. Aku sentiasa cuba untuk rajinkan diri, entah yang ke berapa kalinya. Harap-harap kali ni aku lebih istiqamah.

Februari 2021, menandakan bahawa sudah setahun sebulan virus Covid-19 dikesan masuk ke Malaysia sekaligus menjadi pandemik yang menghantui seluruh warga Malaysia malahan semua negara di dunia ini.

Kehadiran si kecil yang digeruni ini telah meragut ramai nyawa dan sehingga kini kes jangkitan semakin hari semakin meningkat walau pelbagai usaha telah dijalankan.

18 Mac 2020 yang lalu, kerajaan telah perkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermaksud untuk menjadi salah satu usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 ini. Pada asalnya, sekitar Julai-Ogos 2020 catatan jangkitan berjaya dilandaikan. Namun apabila semua sektor ekonomi dibuka semula terutama sektor pelancongan semakin rancak kembali, booom! Kes mencanak-canak balik hinggalah ke hari ini. Dalam seminggu dua kebelakangan ini, kes harian telah mencecah angka 5000 lebih dalam sehari. 

PKP 2.0 dikuatkuasakan semula, dengan harapan kes dapat dikurangkan. Kempen amalkan norma baharu giat dipromosikan hampir di semua saluran media cetak dan laman sosial. Kompaun dan denda ditingkatkan untuk memastikan rakyat patuhi semua SOP yang ditetapkan. Namun begitu, sebilangan rakyat sudah mula jelak dan muak. Bukan sebab rebel, tetapi tertekan akibat sangat ramai yang diberhentikan kerja atau gaji dipotong semenjak pandemik ini melanda. Tidak kurang juga ramai peniaga yang gulung tikar. Sesungguhnya, Covid-19 ini bukan sahaja memberi ancaman kepada kesihatan, tetapi juga mampu melumpuhkan ekonomi negara serta rakyatnya.

Sebuah drama diterbitkan untuk mengimbas kembali gambaran situasi para marhaen semasa Covid-19 melanda negara. Hadiah Dari Tuhan, itu tajuk dramanya. Berbaloi untuk ditonton sebagai mengingatkan kembali kita kepada musim pandemik ini.

PKP, PKPB, PKPP, PKPD, PKPDB, PKP 2.0... Apapun saja nama/gelaran yang diberikan kepada usaha kerajaan, semua rakyat berharap agar ancaman kesihatan dan ekonomi dapat ditangani sama rata demi kebaikan seluruh rakyat Malaysia. Semoga para pemimpin sedar, Malaysia perlu diselamatkan terlebih dahulu sekarang ini. Hentikan segala sketsa drama politik murahan di saat-saat negara sedang berdepan dengan pandemik. Selamatkan negara kita ini, bukan kocek sendiri dan para kroni. 

Semoga Covid-19 segera pergi. Semoga kita dapat menjalani kehidupan harian seperti kebiasaan dahulu. Kepada Allah kita berlindung, kepada Allah kita meminta, kepada Allah kita serahkan segalanya. 

Salah satu norma baharu, ke mana-mana wajib pakai topeng pelitup hidung dan mulut.

#kitajagakita
#kitabelummenang
#amalkannormabaharu