Khamis, Julai 01, 2021

Aku Pesakit Kes Yang Disahkan Covid-19

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...
Hari ini, genap sebulan satu detik paling mencemaskan terjadi dalam hidupku. 01/06/2021, tarikh ini mungkin akan luput dari ingatan tapi apa yang berlaku, akan kekal tersemat selama-lamanya. Aku ceritakan dalam kronologi:

28 & 29 Mei 2021
Sejak 26hb rasa tidak sedap badan. 28hb terpaksa serah diri di klinik sebab suhu badan cecah 38.5 darjah. Dapat ubat demam dan MC. 29hb masih demam, dapat MC lagi untuk hari kedua.

30 & 31 Mei 2021
Cuti Umum, demam mula surut tapi batuk plak yang menjadi-jadi. Hilang selera makan (deria masih ok) sebab asalkan lepas makan terus batuk yang teruk sampai tahap muntah. Bila tarik nafas dalam-dalam, akan batuk teruk juga. Aku terpaksa tarik nafas ala kadar saja. 

1 Jun 2021
Subuh tu rasa demam datang balik. Pagi tanya MA, dia nasihatkan untuk pigi hospital dapatkan pemeriksaan lanjut dan rawatan. Jam 8.00 pagi pigi Hospital Kunak dengan suami, sampai sana diminta untuk buat ujian saringan Covid-19 sebab ada gejala. Sampai di khemah saringan, buat pendaftaran dan pemeriksaan kesihatan asas macam tekanan darah termasuk level oksigen. Tiga kali pegawai hospital yang bertugas tu ulang periksa, bacaan masih sama. Aku tidak jadi swab di khemah, aku dibawa masuk ke zon merah unit kecemasan. Aku hairan dan aku bingung, apa yang jadi sebenarnya? 

Rabu, Mac 03, 2021

Kelas Sri Kandi

 Assalamualaikum dan Salam Hormat.

Sebuah kelas secara persendirian (not business oriented) telah dibuka pada tahun 2014, yang bertujuan sebagai kelas tuisyen persediaan untuk menghadapi peperiksaan UPSR buat anak saudaraku, Muhd Syahrizan. Kemudian disertai sekali oleh rakan-rakan sekelasnya. Kelas ini bermula dengan 6 orang murid sahaja iaitu Izan, Pizul, Mamat, Remy, Rahim dan Hakim. Setelah seminggu berjalan, barulah sedikit demi sedikit murid bertambah dan berkurang. Ada yang belum sampai masa untuk UPSR pun ikut tuisyen juga atas kehendak ibu bapa diorang sendiri. Aku ok saja. Hehehe...

Seiring dengan keberadaan kelas tuisyen ni, aku terapkan nilai-nilai agama dalam langkah mereka untuk mengejar ilmu dunia. Di situlah pula ada ibu bapa yang meminta aku turut ajarkan anak-anak mereka mengaji Iqra' dan Al-Quran, memandangkan aku dikenali sebagai orang yang "pandai mengaji" sebab pernah menang Tilawah Al-Quran. Adeh.... 

Aku istikharah, mampukah aku? Sebab aku bukan cikgu atau guru agama, Ustazah jauh sekali. Lifestyle pun, bukanlah muslimah sejati sangat. Hmmm... Tiga kali istikharah, Allah lapangkan dadaku. Dia gerakkan aku untuk bersiap sedia seperti beli buku tajwid dan dapat pula hadiah tafsir Quran. Mungkin ini "restu" daripada Allah untuk aku mulakan berkongsi ilmu Al-Quran yang aku ada kepada anak-anak kampungku. Kalau mau tunggu aku jadi "ustazah" baru mahu mengajar, ntah bila? Semoga inilah saham akhirat sebagai bekalku ke sana nanti.

Niatku hanya satu, aku mahu mereka jadikan Al-Quran sebagai asas dalam segala hal kehidupan. Aku bukan budak sekolah pondok atau belajar khusus dalam ilmu agama. Aku cuma dapat manfaatkan ilmu sedia ada yang aku pernah pelajari sejak kecil hingga sekarang. Tiada hari tanpa Al-Quran, itulah yang mahu aku terapkan. 

Justeru, aku bersetuju tanpa syarat, maka bermulalah pelbagai episod aku bersama anak-anak Kelas Sri Kandi (tuisyen UPSR dan mengaji Iqra' + Al-Quran). Saban hari, semakin bertambah permintaan. Setakat 2020 (sebelum Covid-19), Kelas Sri Kandi ada kelas mengaji Iqra' + Al-Quran dan kelas tuisyen asas (tahun 123), tuisyen UPSR (tahun 456), tuisyen PT3 (tingkatan 123) dan tuisyen SPM (tingkatan 4 & 5). Siapa yang ajar semua ni? Ya, percayalah. Aku sendiri yang ajar semua subjek dan semua murid. Hehehe... Kadang-kadang aku sendiri tidak percaya macam mana aku boleh bahagi masa dan persediaan bahan mengajar untuk anak-anak ni semua, walhal aku ada kerja hakiki dan tugas sebagai seorang isteri yang kena masak dan buat kerja-kerja rumah lain. Allah yang permudahkan segalanya. Alhamdulillah...

Kini, di tahun 2021 Kelas Sri Kandi masih bertapak. Walau populariti ku kini agak melonjak sebagai antara insan "wajar dibenci" sebab akulah orang di sebalik tabir semua SOP dan penguatkuasaan di syarikat ini terutama sejak Covid-19 melanda. Aku sebenarnya terkejut bila malam tadi saja ada 25 orang murid (lama + baru) hadir kelas, setelah cuti panjang dek SOP PKP sebelum ini tidak membenarkan ada kelas. Itupun, tidak termasuk yang tidak dapat hadir. 

Aku sebak, masih ada lagi rupanya ibu bapa yang baik hati dan tidak kaitkan urusan kerjaku dengan Kelas Sri Kandi. Aku bersyukur sebab Allah masih izinkan aku berkongsi ilmu dengan anak-anak ini sebagai usaha untuk mencintai kalam-kalam suci-Nya. Terima kasih, Ya Allah... 

Terima kasih juga kepada semua ibu bapa yang masih menaruhkan kepercayaan kepada Kelas Sri Kandi sebagai tempat anak-anak mereka mengutip sedikit sebanyak ilmu kecintaan terhadap Al-Quran. Tidak dilupakan, suami dan ahli keluargaku yang sentiasa memberikan sokongan tanpa henti termasuklah Pakcik Mustaming sekeluarga, guru mengaji ku dulu. Semoga pakcik, makcik dan kakak abang semua mendapat tempias pahala setiap kali anak-anak ini mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran berkat ilmu yang dicurahkan dan sentiasa mengalir ini.

Di tahun 2021 ini, Kelas Sri Kandi hanya akan beroperasi sebagai kelas mengaji sahaja. Manakala kelas tuisyen tidak lagi di bawah Kelas Sri Kandi tetapi akan dikendalikan di bawah pengurusan Gender Mostyn (panjang ceritanya), dimana aku juga masih yang akan mengajar. Tapi tidak mengapa, semoga ada hikmah yang terbaik buat semua. Insya Allah..

Kelas Sri Kandi, kelas ini bukan kelas biasa. Kelas ini penuh dengan kasih sayangku kepada anak-anak ini. Penuh dengan rasa hormatku kepada ibu bapa mereka. Penuh dengan rasa syukurku kepada Allah dan keluargaku. Ada tarbiah di dalamnya, yang sukar untuk aku jelaskan apa ada di sebalik Kelas Sri Kandi ini. Harapanku, semoga Allah terima semua ini.

Wahai anak-anak, Sri Kandi. Aku tidak menjanjikan kamu Straight A dalam peperiksaan. Tidak pula boleh bagi kepastian kamu akan jadi hafiz dan hafizah, ustaz atau ustazah. Tapi aku boleh janji, apa ilmu yang aku ada untuk bawa kita sama-sama ke syurga, itulah yang aku akan kongsikan bersama kalian semua. Terimalah seadanya, wahai anak-anak Sri Kandi ku...

Once Upon A Time, Kelas Sri Kandi 😘💓





Masa ni diorang belajar untuk UPSR, tahun ni sekarang ni diorang sedang SPM (batch SPM 2020). Semoga berjaya, anak-anak sekalian.



Bingkisan Kem Sri Kandi 1.0, 2.0, 3.0

















Ya, Kem Sri Kandi ni aku masak sendiri semua sarapan, lunch dan dinner untuk 20-30 orang anak-anak. Diorang hanya perlu bawa beras satu mangkuk seorang, 3 biji telur, 2 tin sardin, dan 3 botol air mineral. Manakala selebihnya seperti lauk heavy macam sarapan, sayur, ayam dan ikan, aku yang sediakan. Semua slot dan pengisian, aku handle sendiri-sendiri. Sebab suami kerja. Kecuali kerja amal dan slot rohani aku akan bawa anak-anak ni ke rumah orang dan masjid. Aku tidak kisah, sebab aku happy buat semua ni demi anak-anak Sri Kandi yang aku kasihi.







Majlis Khatam Kelas Al-Quran Sri Kandi








Sang Murabbi, Pakcik Mustaming. Dengan ilmu dari beliau dan anak-anaklah, aku bisa sampai di tahap sekarang dalam mengemudi Kelas Sri Kandi. Semoga Allah sentiasa menjaga pakcik sekeluarga.

Ahad, Februari 28, 2021

Peraturan, SOP dan Kezaliman?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. 

Aku sedikit tersentak bila orang-orang yang menggubal peraturan mahupun SOP yang pada asalnya TERPAKSA dibuat demi melindungi kita daripada ancaman risiko tertentu atas sebab musabab kebaikan, dikatakan berlaku ZALIM dengan jawatan yang ada. Adakah peraturan itu zalim? Adakah orang berjawatan yang menggubal itu berlaku zalim?

Mereka yang menguatkuasakannya pula sebagai usaha pematuhan dilaksanakan, digelar ANJING oleh sebilangan manusia yang so called perfect, pandangannya konon sentiasa tepat! 

Aku yang bekerja di bahagian kualiti, keselamatan dan alam sekitar diajar benda paling asas dalam menjalankan tugas. Dalam segala hal, benda pertama kena buat ialah PENILAIAN RISIKO bagi setiap perkara. Risk Assessment, itulah yang akan menjadi "tapak" kepada pembinaan setiap peraturan mahupun SOP. Serba serbi risiko walau sebesar zarah kena diambil kira. Dalam erti kata lain, si pembuat peraturan dan SOP ni sudah kaji, dalami, berprasangka dengan apa saja kebarangkalian yang bakal berlaku, sebelum menyusun peraturan tersebut dalam ayat. Bukan senang!!!

Di peringkat perlaksanaan pula, ya memang selalunya benda baru sukar untuk diterima sebab merubah norma lama kepada norma baharu. Orang kita, sentiasa takut akan perubahan. Selagi sesuatu risiko itu tidak beri mudarat kepada diri sendiri atau insan tersayang, mereka hanya akan persetankan saja SOP baru tersebut. Mudahkan? 

Tetapi, bilamana satu-satu pihak yang mempunyai "kuasa" tidak mengambil langkah awal untuk mencegah (atas alasan orang kita tidak boleh terima), bila ada keburukan yang menimpa mereka di bawah sana, mereka pasti akan bersatu hati secara berjemaah MEMBODOHKAN mereka yang mempunyai kuasa dan jawatan. Lihat permainan mereka! Serba serbi hanya yang "berjawatan" saja yang salah! Buat salah, tidak buat lagi salah!

Aku digajikan untuk membantu syarikat dalam memastikan pematuhan (assurance) dalam semua peraturan sedia ada mahupun bantu menambah baik peraturan sedia ada atau brainstorming untuk develop peraturan baru (terutama sejak pandemik Covid-19). Diulangi, AKU DIGAJIKAN...!!! Bak kata Allayarham Tuan Haji Esa (mantan bos kami), "Setiap sen gaji kita itu adalah AMANAH. Dari setiap sen itulah juga akan diperhitungkan di akhirat kelak, sejauh mana amanah itu kita laksanakan." 

Disebabkan takut akan dihitung di akhiratlah, kami kena berusaha laksanakan setiap arahan dalam menjalankan amanah dengan bersungguh-sungguh walau sudah sedia tahu akan risikonya yakni penerimaan bangsat daripada orang lain. Perbezaan pendapat dan penerimaan itu boleh, tapi jangan sesekali menilai atau menjatuhkan hukum kepada mereka yang sedang menjalankan tugas sebagai ZALIM, TIDAK BERHATI PERUT sehinggakan sanggup mendoakan KEMATIAN mereka. Na'uzubillahi Min Zalik! 

Sama kisahnya dengan suami, bekerja sebagai anggota keselamatan dan penguatkuasa yang menjalankan pemantauan pematuhan SOP Covid-19 di premis-premis daerah atau sekatan jalan raya atau rondaan MPV. 80% katanya mereka yang ditegur akan melenting sampai tahap ajak bergaduh. Jika tiada kesabaran yang tinggi terhadap provokasi yang diterima, sudah pasti kekerasan akan mengambil alih senyumannya. 

Ntah lah, aku rasa posting kali ni agak sarat dengan emosi. Tapi aku perlu lampiaskannya. Sebab aku sangat-sangat upset dengan penerimaan orang lain yang perasan bijak dan sentiasa betul tapi sebenarnya hanya pentingkan diri sendiri.

Bila peraturan dibuat, dikatakan berlaku zalim. Bila peraturan dikuatkuasakan, dikatakan berlaku zalim. Bila ada yang melanggar dan tindakan diambil, dikatakan berlaku zalim. Tahukah kalian? Kalianlah sebenarnya yang ZALIM terhadap diri sendiri. Sebab apa? Sebab biarkan KEBODOHAN menyelubungi diri dan keluarga sendiri. Ya, IGNORANCE itulah KEBODOHAN halus tetapi NYATA.

Maka, berlapang dadalah dalam segala hal. Aku yakin, tiada peraturan dibuat untuk memberikan mudharat melainkan hanya sebagai usaha untuk peroleh manfaat. Aku tidak pernah lagi jumpa peraturan yang dibuat untuk mematikan orang. Bagaimana cara kita menerima dan menilai sesuatu peraturan terutama yang baru serta mengubah rutin hidup kita 360 darjah, itulah yang akan menentukan kesannya terhadap kita. Jika kita berlapang dada, maka Insya Allah semuanya akan baik-baik saja dan hikmah akan muncul seiring penerimaan kita. Tapi andai kita dahulukan emosi dan kebodohan dalam menyambutnya, maka syaitan akan bersorak gembira untuk menghasut kita agar sentiasa melanggarnya dan sampai satu tahap kita diajar oleh syaitan untuk mendoakan keburukan dan kematian menimpa si pembuat dan penguatkuasa peraturan. Jangan biarkan syaitan menang!

Ingatlah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Wallahu a'lam bissawab.

Jumaat, Februari 26, 2021

Selamat Hari Lahir, Mak!

Assalamualaikum dan Salam Hormat. 

Alhamdulillah, 26/02/2021 maka genaplah usia mama yang ke-69 tahun. Syukur kepada Allah SWT sebab tahun ini kami dapat meraikannya walau sesama kami sahaja. Simple yet meaningfull.

Tahun lalu, tahun yang paling mencabar buat kami sekeluarga. Mana tidaknya satu ulang tahun pun tidak dapat diraikan. Hanya habiskan banyak masa di hospital saja kami. Tapi tidak mengapa, semua itu demi memastikan mama dengan etta kembali sihat seperti sekarang. Alhamdulillah...

Terima kasih Allah sebab berikan kami seorang ibu yang kuat! She's a fighter! Dulu pernah diuji sakit kencing manis yang teruk sampai tahap hampir potong kaki, tahun lalu pula sakit buah pinggang sampai perlu jalani hemodialisis seumur hidup. Semua ujian Allah itu berjaya mama harungi di depan mataku sendiri. Kuatnya beliau! Bukan saja dalam melawan kesakitan, tapi dalam segala hal mama memang kuat. Tegas, garang dan cerewet. Tapi itulah yang menjadikan aku ni manusia. Semakin mama dimamah usia, semakin terserlah sifat lembut dan penyayangnya. Benarlah, garang dan tegas mama bukan semulajadi, tapi hanya dibuat-buat demi menakut-nakutkan aku dan adik beradik lain semata-mata agar lebih berdisiplin dan serius dalam menjalani alam kanak-kanak serta remaja kami dulu.

Terima kasih mak atas segalanya! I love you till Jannatul Firdaus. 🥰🥰🥰

Sabtu, Februari 20, 2021

19/02/2021, Bertambah Setahun Lagi Usia

Assalamualaikum dan Salam Hormat...

Kelmarin, 19/02/2021 merupakan Hari Ulang Tahun Kelahiranku yg ke-31 tahun. Alhamdulillah, masih diizinkan Allah untuk bernafas di buminya ini dan direzekikan masih bersama suami, mama, etta, Uncle Zai dan adik-beradik yang sentiasa menyayangiku apa adanya. 

Doaku sentiasa sama, semoga setiap hari aku menjadi insan yang lebih baik daripada hari-hari sebelumnya. Baik dari segi amal ibadah, tutur kata dan perbuatan, mahupun penilaian dalam mendepani segala perkara. 

Soal rezeki, Alhamdulillah aku selesa dengan kerjaya dan kecukupan yang Allah berikan sekarang. Dapat kerja kami suami isteri di daerah sendiri, dekat dengan orang tua, satu nikmat yang tidak terungkapkan. Soal rezeki anak pula, mama dengan etta selalu pesan, apa yang jadi semua kehendak Tuhan, yakni Allah. Pedulikan kata-kata negatif orang lain, bila sudah sampai masa Allah akan bagi juga. Insya Allah, kami akan terus berusaha dan berdoa semoga ada rezeki buat kami untuk menimang cahaya mata.

Semakin berusia, semakin aku sedar yang circle of people dalam hidupku semakin mengecil. Ada yang tinggalkan aku sebab jarak dan masa, ada yang tinggalkan aku sebab komitmen yang bertambah, ada yang tinggalkan aku sebab telah dijemput Allah, ada yang tinggalkan aku sebab aku terlalu tegas dalam menjalankan tugas dan bicara. Walau apapun, aku bersyukur kerana yang masih ada dalam circle ini, penuh dengan kualiti. Syukur juga kerana Allah masih hadirkan beberapa insan baru dalam kamus hidupku untuk mengisi segenap ruang keperluan untuk aku bisa jalani hari-hariku, waima cuma sekadar teman alam maya aku terima dengan gembira dan meraikan mereka sebaiknya.

Terima kasih buat semua yang mendoakan, aku juga sentiasa doakan yang baik-baik buat kalian semua.

Alhamdulillah, syukur pada Allah untuk segalanya...