Jumaat, Mac 08, 2019

RINTIHAN HATI INSAN YANG DIBENCI


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...
Post kali ini mungkin agak panjang daripada kebiasaannya...
Jutaan maaf sekiranya mengambil masa para pembaca...

Hati...
Hati ini telah dilatih untuk kuat dalam mendepani pelbagai cabaran...
Dek pengalaman yang sudah...
Kita ketepikan kaitan hati dengan hidup peribadi...
Kerana itu satu urusan di satu sudut yang lain...

Kita bercakap kini soal urusan hidup dalam kalangan manusia...
Seharian...
Yang muncul dengan pelbagai watak dan rupa...
Ada yang seperti malaikat baik tingkah laku dan tutur bahasanya...
Ada juga yang bangsat melempar batu sembunyi tangan...

Aku bercerita soal anehnya tingkah laku manusia dalam menilai orang lain...
Mengapa harus bersangka buruk terlebih dahulu...
Sedangkan kita diajar untuk sentiasa Husnuzon...

Lembaran 2019 yang baru menjengah ke bulan tiga ni...
Hampir setiap hari menghenyak aku terduduk termanggu...
Apa salahku???

Usia perkahwinanku dan suami sudah setahun lebih...
Umum akan mengajukan soal anak...
Belum direzekikan Allah buat kami masa ini...
Kami berlapang dada...
Soalnya manusia lain yang sering memperlekehkan kami laki bini...
Terlalu fasih lidah mereka melafazkan kalimat-kalimat mengguris jiwa...
Ada yang mendoakan juga, yang tu syukur Alhamdulillah...
Tapi sering saja ada yang bertanya, diikuti dengan sindiran kemudian gelak ketawa secara berjemaah...

Sabar...
Ya, nasihat cliche buat kami yang menerima...
Kami memang sekadar mampu tersenyum menelan kepahitan keceluparan mulut mereka...
Ada yang sampai tahap menghina pun ada...
Allah, kuatkan hati kami Ya Allah...

Ditimbulkan lagi cerita...

Soal anak-anak didikku untuk kelas tuisyen dan mengaji Al-Quran...
Dicanangnya aku ini...
Sengaja melengah-lengahkan murid mengajiku untuk khatam...
Kerana apa?
Kerana semakin lama diorang mengaji, semakin aku untung dengan bayaran yuran bulanan diorang...

Demi Allah...
Aku tiada kenakan cas bulanan walau satu sen pun kepada anak-anak ini...
Baik mengaji mahupun tuisyen...
Yang ada cuma yuran pendaftaran mula-mula dulu...
Itupun untuk beli buku saja...
Langsung tiada untung buat aku...
Sebab aku sekadar berkongsi ilmu demi mengejar pahala dari-Nya...
Hmmm...

Kemudian...
Kepuakaan mulut manusia ini semakin menjadi-jadi...
Qiamullail, satu yang agak asing buat kaum wanita di sini...
Hasil usaha bersama beberapa pihak...
Dibawakan Ustazah Edayu sebagai penyampai...
Terapi Jiwa dan Penghayatan Asmaul Husna...
Alhamdulillah...

Tapi ada lagi si mulut puaka...
Yang menderhakakan orang lain sesuka hati...
Kononnya kami meninggalkan suami dan anak-anak di rumah...
Untuk happy-happy di masjid dengan rakan-rakan sebawang...
Allah...

Sejahil itukah kami???
Dalam mencari cinta Allah, kami sanggup belakangkan pintu syurga kami...
Tidak!!!
Kami bukanlah sebodoh dan sejahilnya kamu yang membawa cerita...
Kami tidak akan berada di majlis ilmu itu tanpa izin suami...
Kami tidak akan berqiam meninggalkan rumah tanpa redha suami...
Suami kami suami yang memahami keperluan ilmu agama buat isteri mereka...
Mereka ikhlaskan ketiadaan kami di rumah hanya untuk semalaman...
Agar pahala itu boleh dikongsi bersama...
Siapa kamu untuk mengatakan kami sudah derhaka dengan suami???
Kolot betul pemikiran kamu dalam membenci orang yang tidak seirama dengan kamu...

Disambung pula kini...
Karnival Sukan anjuran pihak pengurusan...
Dikelolakan oleh aku, salah seorangnya...
Memandangkan rakan sekerja lain sibuk dengan komitmen hujung bulan...
Dilihat aku yang lebih berusaha dalam pengurusan menggerakkan sukan-sukan...

Aku sudah biasa terlibat...
Sebagai penganjur...
Mahupun AJK...
Pengalaman mengajar...

Dalam ketaksuban semua untuk menang...
Telah hilang rasa hormat dan fitnah bertebaran...
Maka bersoraklah syaitanirrajim...

Ternyata kalah menang itu adat pertandingan...
Tapi Si Kalah ini sukar menerima hakikat...
Disalahkan semua orang kecuali diri sendiri...
Pengadil salah...
Penganjur salah...
Pasukan lawan salah...
Semua salah...

Pengadil...
Secara sukarela Uncle Zai dan Hj. Kassim menawarkan diri...
Tanpa mengharapkan balasan...
Lebih-lebih lagi bayaran...
Hanya bantuan kemahiran, atas rasa ihsan dan minat...
Tapi apa yang para pemain dan penyokong berikan untuk mereka???
Kecaman bertubi-tubi tanpa rasa simpati...
Jauh sekali nilai menghargai...
Hanya kerana apa???
Kerana keputusan perlawanan tidak menyebelahi pasukan mereka...

Bias...
Ya, itulah tomahan yang dilemparkan...
Hanya kerana aku, Uncle Zai dan Hj. Kassim ada related dengan ahli satu pasukan...
Satu pasukan ini yang ramai tidak suka mereka menang...
Hanya kerana Etta dan isteri Hj. Kassim merupakan ahli pasukan itu...
Pasukan-pasukan lain dengan galaknya melabelkan kami dengan gelaran-gelaran hina...
Kononnya kami bias dan tidak wajar bertugas dalam mengadili atau mengelola perlawanan...

Jadi siapa yang wajar???
Bila saja keputusan tidak menyebelahi, terus dilabel sebegitu???
Allah...
Kami menjalankan tugas atas dasar profesional...
Kaitan peribadi kami tolak ke tepi semasa berdiri melaksanakan amanah...
Ceteknya pemikiran kalian...
Kecetekan otak kamu dipantulkan dengan kebangsatan kamu melemparkan kata-kata buat kami...
Etta yang tidak bersalah tu pula yang kamu jadikan sasaran...
Shame on you!

Karnival Sukan belum reda kehangatannya...
Muncul pula serangan peribadi...
Fitnah ke atasku, insan yang berdiri sendiri ini...
Dikatakan setiap acara yang aku kelolakan...
Aku beriya-iya laksanakan...
Sebab aku mahu makan duit perbelanjaan program...
Sedangkan setiap perbelanjaan ada prosedur nya...
Ada dokumentasinya...
Beratnya fitnah ini, Ya Allah...

Bila ada si celaka yang berkata begitu...
Hilang segala nikmat dan keseronokan bekerja belakang tabir ini...
Sedikit demi sedikit mood lari bertempiaran...
Syaitan mula berbisik, "Tinggalkan saja program itu!"
Mujur atas bertanggungjawab, aku terus memikul bebanan yang semakin sarat...
Sarat dengan fitnah dan kebencian manusia...

Kenapaaa???
Apa salahku sama kalian???
Apa salah keluargaku sampai mereka diheret bersama dalam pelbagai fitnah, hinaan, sindiran...
Suamiku yang baru setahun jagung di sini turut dijadikan bahan...
Kebaikan suami dalam membantu isteri di rumah turut dijaja merata-rata...
Aku buli suami kata mereka!
Kami sekeluarga sama seperti kamu...
Berbakti buat tempat mencari rezeki dan kampung halaman sendiri...
Jika inilah yang dikatakan ujian, aku redha Ya Allah...
Tapi kenapa aku dibenci sedemikian rupa???
Allah, bantu aku...
:(


Rabu, Februari 13, 2019

Kem Bina Insan Mostyn 2019


KEM BINA INSAN MOSTYN 2019 
25-27 JANUARI 2019, MASJID NURUL HIDAYAH LADANG MOSTYN 

KEM BINA INSAN MOSTYN diilhamkan oleh YDP PIBG SK Mostyn dengan hasrat yang sama daripada Pengerusi KAFA Ladang Mostyn. Ilham ini dicetuskan demi mengambil berat kepentingan pembangunan sahsiah dan jati diri murid-murid demi menjadi insan yang Cemerlang Dunia, Gemilang Akhirat. 

Hasrat murni tersebut diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan selama 3 hari 2 malam dengan kerjasama penuh daripada komiti-komiti besar Mostyn yang terdiri daripada Gender Committee Mostyn selaku pengelola aktviti-aktviti jati diri, KAFA Ladang Mostyn selaku pengelola slot-slot kerohanian, Kelab Belia Masjid (KBM) Masjid Nurul Hidayah Mostyn selaku penyelia logistik dan disiplin, serta tuan rumah program iaitu Sime Darby Plantation (Sabah) Sdn Bhd, Ladang Mostyn. Tidak ketinggalan, tunjang di sebalik kejayaan program ini adalah PIBG SK Mostyn serta Guru Besar SK Mostyn itu sendiri. 

Kerjasama daripada lima (5) organisasi besar ini, akhirnya berjaya menjadikan program Kem Bina Insan Mostyn 2019 sebuah program yang layak dilabelkan bertaraf kebangsaan kerana penganjurnya terdiri daripada team underdog yang tidak mempunyai kemahiran khusus dalam program seumpama ini tapi mampu mengisi penuh 3 hari 2 malam dengan slot-slot yang berguna kepada para peserta. 

Sesungguhnya, menguruskan murid sekolah rendah sehingga 100 orang bukanlah sesuatu usaha yang mudah. Pasukan sokongan juga amat diperlukan dalam mendekati anak-anak ini dalam satu kelompok yang kecil iaitu pecahan kumpulan. Fasilitator atas tiket Gender Committee Mostyn di bawah kendalianku juga telah membantu memudahkan lagi pengurusan para peserta, antara tugas mereka adalah: 

1. Membantu menjalankan slot Pembahagian Kumpulan, Pemilihan Ketua Kumpulan, Pemilihan Penghulu dan Penghuluwati serta Penyerahan Amanah Buat Ketua Kumpulan. 

2. Berkongsi buah fikiran dalam merangsang daya imaginasi para peserta dalam melaksanakan slot Pembentangan Kumpulan (Pemilihan Logo, Nama dan Kata-kata Semangat Kumpulan). 

3. Memberi khidmat nasihat kepada para peserta dalam kumpulan jagaan mereka perihal bentuk persembahan slot Malam Kebudayaan Islam. 

4. Bertanggungjawab dalam menjaga stesen-stesen pada slot Treasure Hunt sekaligus membantu penganjur dalam memastikan para peserta menyelesaikan tugasan di setiap stesen. Tidak ketinggalan, mereka turut memberikan sokongan dan semangat agar semua peserta mampu menyelesaikan slot Treasure Hunt tersebut dengan jayanya. 

5. Membantu pihak penganjur dalam melaksanakan tugas-tugas ad-hoc seperti menghidangkan makanan kepada para peserta, membersihkan kawasan program, merekodkan markah kumpulan, menyediakan kawasan program sesuai dengan keperluan slot dan pelbagai tugasan lain. Mereka turut menjadi sebagai sebahagian peserta dalam slot yang dirangka, terutamanya slot Malam Penghayatan dan Ceramah Motivasi serta turut menginap di kawasan program bersama para peserta.

Tahniah buat Team Kem Bina Insan Mostyn 2019...!!!

HARI PERTAMA
(Pembahagian Kumpulan, Kuliah Maghrib & Ice-Breaking)











HARI KEDUA
(Treasure Hunt, Tele-Match, Cultural Night & Malam Penghayatan)




















HARI KETIGA
(Solat Hajat/Dhuha, Ceramah Motivasi & Penutupan)